بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Selasa, 31 Januari 2012

Kenapa diam bila salah??


Segmen luahan...

Kesilapan yang sering manusia lakukan ialah...

Bila buat sesuatu keputusan atau tindakan
Tidak rujuk kepada yang lebih arif atau bertanya pendapat orang lain
Bila keputusan atau tindakan yang dibuat menimbulkan masalah
Baru cari orang lain untuk selesaikan masalah

Lain cerita...

Bila tidak bertanya untuk membuat sesuatu dan akhirnya ditimpa masalah
Masalah tersebut boleh diselesaikan dengan sendirinya...

Bila sudah ditolong selesaikan masalah
Diam pula.. takde masa nak telefon atau bersua muka.
Bila nak minta tolong boleh pula 2/3 kali datang jumpa dan telefon.

Masalahnya kalau ada kemusykilan sekalipun
berkatalah sesuatu jangan diam seribu bahasa
sedapkan hati orang yang menolong

Faham ke apa yang saya cuba sampaikan..

Duit Tabung


Akhirnya penuh juga duit tabung Iman. Iman yang sebelum ni rajin tolong masukkan duit tabung (lihat aksinya dalam gambar di atas tu) semalam rajin juga tolong ayah dia keluarkan duit tabung tersebut. Eh.. kebetulan sama pula baju yang dipakai. Gambar yang di atas tu di ambil beberapa minggu sebelum ni.

proses mengeluarkan duit syiling dan mengasingkannya... lihatlah budak kecil yang tekun dan rajin membantu tu...

Tabung buluh tu nampak je besar tapi isi dalamnya tidaklah banyak mana. Ianya untuk dimasukkan dalam akaun simpanan Iman. Punyalah sabar AI nak keluarkan duit dalam tabung tu.. mulanya kata nak belah tapi dikeluarkan mengikut lubang tabung. Bunyinya usah cakaplah.. meriah macam bunyi basuh kerang ;)

Tapi walaumacamanapun jumlahnya lebih banyak dari duit tabung Nuffnang ummi dia ;). Teruskanlah menabung ya Iman, bila besar nanti senang dah ada duit simpanan sendiri. Ini misi ayah Iman, saya doakan misinya tercapai.

Ahad, 29 Januari 2012

Berpeluh selesaikan masalah

ni gambar Iman yang demam lepas balik dari planetarium negara. Saja letak sini sebab ianya sesuai untuk entri saya ni...

Kadang-kadang bila nak sesuatu yang nampak cantik ianya akan menyusahkan juga kalau tak kena pada caranya. Baru-baru ni saya ubah comment form placement kepada embedded below post. Senanglah sikitkan orang nak komen sebab box tu ada di bawah blog post, sejak dari itu kuranglah orang yang sudi komen hehe gurau je..

Setelah baca entri dari jemariasmara barulah saya tau ada masalah bila nak view post. Ada jugalah perasan kenapa kadang-kadang bila saya buka blog entri saya kosong. Dalam hati agaknya google ada masalah. Tapi setelah di siasat berjam-jam (hampir patah semangat). Pagi ni barulah jumpa masalah tersebut.

Tak semua widget atau kemudahan yang disediakan untuk blog sesuai dengan template kita.

p/s: terpaksa ubah nama blog kepada yang lama dan secara automatik blog header telah di buang setelah di tegur oleh ayah Iman, tak boleh guna perkataan singgahsana. Ianya untuk yang maha esa sahaja (kerajaan dilangit) dalam kamus pula bermaksud kerusi kerajaan (tempat raja bersemayam), takhta. Memang tak sesuailah untuk saya ;)

Wallahuaklam.

Lawatan ke Planetarium Negara

Cuti raya cina baru ni.. (hari Selasa) ayah Iman ajak makan nasi ayam POP di Kampung Baru. Lepas makan tak tahu nak pergi ke mana. Saya ajak ayah Iman singgah Planetarium Negara.. mulanya AI malas nak pergi sebab tengok tangga yang tinggi macam gambar di bawah ni. Dah sampai... masuk jugalah..

Kali terakhir saya datang sini tahun 90an.. lama jugalah.. Di bawah ni sebahagian dari gambar-gambar yang kami rakamkan sewaktu berada di sini.

ni masa nak balik tapi letak awal-awal, sebab nak datang kenalah exercise dulu ya.. lebih-lebih lagi bawa anak kena dukung sambil naik tangga.. penatlah juga

masuk free sahaja tapi kalau nak tengok movie kena bayar RM 6.00. Kami tak tengok pun sebab nak kena tunggu lama juga.. ada waktu-waktu tertentu untuk tengok.

tengok muka Iman yang merah padam sebab kena panas sebelum masuk sini... takut dia tengok patung angkasawan tu..

perasan jadi angkasawan sekejap :)

lupa nama ruangan ni...

patung ni terletak depan pintu masuk.. siapakah beliau? cuba teka?

sekali lagi Iman hanya main jeling-jeling.. takut

bahagian yang Iman suka tengok.. sekarang minat sangat dengan kapal terbang pula..

ini pun sama... suka dapat tengok 'kapal terbang'

dalam tempat yang dipanggil planet merah

Iman yang sedang teropong... tapi tengok ke tidur Iman tu...

pemandangan yang dapat dilihat dari anjung tinjau

Jumaat, 27 Januari 2012

TV 42 inci hadiah lapor paip pecah


Wah bestnya... kalau yang free semua orang suka betul tak? Jadi kalau ada kejadian paip pecah tu.. cepat-cepatlah dail talian bebas tol Puspel 1-800-88-5252. Kalau tak dapat hadiah pun apa salahnya laporkan juga. Tak baik membazir betul tak? Takde air kita juga yang susah.

Info di bawah ini diperolehi daripada www.kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) terus menghargai inisiatif pengguna yang melaporkan tentang kejadian paip pecah dan bocor dengan memberi mereka hadiah menerusi cabutan bertuah.

Pengarah Eksekutif, Hal Ehwal Korporat Syabas Abdul Halem Mat Som berkata, “Syabas telah merangka satu perisian khusus dinamakan ”ib tuah” di mana pemilihan nama pemenang dapat dibuat secara rawak menerusi undian oleh sistem komputer, sejumlah lima orang pemanggil bertuah akan dipilih sebagai pemenang setiap bulan”. Bercakap kepada pemberita di Majlis Pemilihan Pemenang Pelanggan Prihatin di sini hari ini beliau berkata, hadiah termasuk televisyen plasma berukuran 42 inci, ketuhar gelombang mikro, televisyen LCD berukuran 22 inci, sistem pemain DVD dan set sistem teater rumah.

Abdul Halem berkata, pada majlis itu pemenang bagi bulan Oktober, November dan Disember tahun lepas telah dipilih dan mereka akan menerima hadiah masing-masing pada bulan depan.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Puspel 1-800-88-5252 untuk sebarang pertanyaan, aduan dan laporan bagi kes paip pecah dan bocor. — BERNAMA

Jadikan Insiden ‘Bunyi Aneh Dari Langit’ Iktibar, Pengajaran


sambungan dari ENTRI sebelum ini. Petikan di bawah daripada harian metro online

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, setiap umat Islam wajar mengambil iktibar atas kejadian-kejadian ganjil yang berlaku yang mungkin menjadi petanda kemurkaan Allah atas dosa-dosa yang dilakukan selama di muka bumi ini.

“Setiap yang ganjil berlaku di dunia ini wajar diambil iktibar oleh semua umat Islam..mungkin ia adalah amaran kepada kita..Rasulullah pun ada sebut kita ni umat akhir zaman…banyak petanda yang sudah berlaku…

“Kita perlu merenung diri bermuhasabah diri..terlalu banyak dosa yang kita lakukan, kita merupakan umat paling maju dan bertamadun..namun kita lupa Tuhan, kita semakin kufur padaNya, malah ada suara-suara yang berani mencabar Allah sekarang ni..,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.my di sini hari ini.

Tidak menolak kejadian aneh tersebut sebagai salah satu petanda akhir zaman, Harussani turut menjelaskan bahawa beberapa perkara lain yang disebutkan Rasulullah SAW telah berlaku yang menguatkan dakwaan tersebut.

“Dah banyak petanda akhir zaman dah berlaku..hukuman yang pernah diturunkan Allah pada kaum-kaum terdahulu pun dah terjadi juga pada zaman sekarang.

“Rasulullah ada sebut dulu..ada orang yang akan tenggelam dalam bumi, dah berlaku kejadian manusia mati tenggelam dalam tanah runtuh..gempa bumi pun makin kerap berlaku, tiap-tiap bulan kita dengar ada gempa bumi…

“Anak-anak zina pun makin ramai, dah berpuluh-puluh ribu dah..dunia pun dah ada angin ‘sar-sar’, angin ‘sar-sar’ ni ialah angin batu, sekarang ni pun dah ada dah berlaku bencana ni..angin ‘sar-sar’ ni dulu diturunkan Allah kepada umat Nabi Luth,” ulasnya lagi.

Justeru, Mufti Perak itu menasihati umat Islam agar mengambil iktibar di atas segala kejadian yang berlaku kini dan bermuhasabah diri serta kembali kepada agama Allah yang sebenar sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Insiden ‘bunyi aneh dan menakutkan’ dari langit yang berlaku di Kota Samarahan tersebut heboh diperkatakan di seluruh dunia dan dilaporkan pernah berlaku di Aaborg, Denmark dan Sweden pada tahun lalu.

Ekoran kejadian tersebut, timbul pelbagai andaian dari masyarakat umum yang mengaitkannya dengan fenomena akhir zaman dan merupakan petanda besar bahawa hari kiamat sangat hampir tiba sebagai pengakhiran dunia.

Selain itu, timbul juga andaian yang menyatakan bahawa insiden itu berpunca dari sebuah program yang dikenali sebagai “High Frequency Active Auroral Research Programme” (HAARP) yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat secara rahsia.

Bagaimanapun, tiada bukti yang menyokong hujah HAARP tersebut memandangkan kejadian itu berlaku di merata dunia dan amat mustahil melibatkan program yang berpengkalan di Gakona, Alaska tersebut.

8 Tips lahirkan anak soleh


Semua orang pasti mahu anak mereka jadi anak yang soleh. Anak ibarat kain putih yang dicorakkan oleh kedua ibubapa. Satu tanggungjawab dan amanah yang cukup besar dari Allah untuk kita pelihara. Jika mereka menjadi anak yang soleh sudah tentu kita sebagai kedua orang tua cukup bangga kerana telah berjaya mendidik mereka. Nampak mudah namun segala perancangan dan persediaannya bukan mudah dalam mencapai apa yang kita mahukan. Salah sikit tergelincirlah mereka. Semoga anak saya dan rakan-rakan semua menjadi anak yang soleh dan bermanfaat untuk kedua ibubapa. Insyaallah...

Di bawah ni adalah tips dalam melahirkan anak yang soleh daripada islamituindah.my

Anak adalah rezeki daripada Allah yang sudah selayaknya pasangan suami isteri bersyukur atas rezeki berkenaan. Dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Antara bentuk rasa syukur adalah mengambil berat persoalan anak. Dengan demikian, terjalin hubungan harmoni dalam keluarga, lahirlah anak yang taat kepada dua ibu bapanya serta terbentuklah watak anak salih yang dapat membangunkan agama, bangsa dan negara.

Islam adalah agama yang sempurna. Islam sudah mengajar seluruh aspek kehidupan, termasuk hak anak yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa. Antara hak anak dalam Islam iaitu hendaklah mencari pasangan yang baik buat anak yang bakal dilahirkan hasil daripada perkahwinan. Rasulullah SAW sudah mengajar pemuda yang ingin berkahwin agar memilih wanita yang salihah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, maka engkau akan beruntung – Hadis riwayat al-Bukhari.

Kedua, hendaklah membaca doa sebelum melakukan hubungan badan agar terhindar daripada gangguan syaitan. Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita seperti dalam satu hadis Baginda bersabda: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Allahumma jannibnas Syaitana wajannibis syaitana ma razaktana. Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.

Jika Allah takdirkan (dengan hubungan tersebut lahir) seorang anak, maka syaitan tidak boleh memudaratkannya.” – Riwayat al-Bukhari.

Ketiga, hendaklah mengambil berat bayi yang berada dalam kandungan ibunya. Perhatian itu sama ada kesihatan bayi yang dikandungnya, mahupun sifat-sifat yang akan diturunkan daripada ibu kepada anaknya.

Keempat, seorang ibu hendaklah sedar terhadap apa yang dikerjakan sehariannya agar tidak melakukan perkara buruk yang akan berpengaruh kepada bayinya nanti.

Kelima, hendaklah menerima dengan senang hati bayi yang dilahirkannya sama ada perempuan atau lelaki. Kerana ada di kalangan pasangan yang tidak suka jika lahir anak perempuan. Sikap ini adalah sifat jahiliah yang perlu dijauhi. Orang Quraisy pada zaman jahiliah apabila lahirnya anak perempuan, maka mereka membunuhnya. Begitu juga kadang-kadang Allah SWT menguji ibu dan ayah dengan anak yang kurang sempurna seperti buta, bisu, pekak. Sekiranya ibu bapa itu menerima dengan berlapang dada, maka ia tetap berasa senang. Namun, sekiranya ibu bapa tidak senang menerimanya, ia boleh membawa kepada penceraian atau pembunuhan pada anak tersebut.

Keenam, memberi nama anak yang baik. Sesungguhnya anak berhak untuk diberi nama yang baik dan bagus didengar. Nama itulah yang akan mewakili dirinya untuk kehidupannya kelak. Oleh itu, janganlah tersalah memberi nama. Janganlah diberi nama yang ada unsur menyamai dengan agama lain atau ahli maksiat dan orang yang terkenal kejahatannya. Berilah nama yang dianjurkan seperti nama yang menunjukkan perhambaan kepada Allah, nama Nabi dan orang yang salih.

Ketujuh, memberikan anak itu rasa aman dan tenteram daripada hal yang menakutkan dan perkara yang boleh merosakkan akidahnya. Jangan suka menakutkan dengan mengatakan kepadanya ada hantu kerana ia boleh merosakkan mental dan agamanya.

Kelapan, memberi pendidikan agama yang cukup. Kesembilan, menjaga kesucian anak itu dengan menikahkannya sekiranya rasa perlu dan mampu untuknya.

Rabu, 25 Januari 2012

Gaya Iman sepak bola


Hari-hari sepak bola.. exercise kat rumah sampaikan ummi dan ayah dia pun sama kena main bola juga dengan dia. Tak tahulah macamana dia boleh minat bola. Agaknya minat dan hobi ayahnya dulu-dulu dah turun pada dia.

Walau demam sekalipun masih gagah sepak bola. Sebenarnya Iman tak sihat sejak dari petang semalam lepas kami balik makan nasi ayam POP di Kg Baru dan singgah di Planetarium Negara. Kesian Iman, agaknya panas-panas semalam masuk kereta terus suhu badan jadi tak stabil. Nasib baiklah ubat demam dia masih ada, terus bagi. Lepas minum sejuklah... tak lama lepas tu panas balik. Masa ni badan dia dah sejuk, harap sangat-sangat dia sembuh hari ni.

Selasa, 24 Januari 2012

Kenangan di Perth suatu ketika dulu

Tahun 2003, tahun pertama kalinya saya melawat negara orang. Dua negara pulak tu.. mulanya ke Perth kemudian ke Dubai. Masa ni dah tentu Iman takde lagi. Kisah lama untuk dikenang kembali. Sesuatu kenangan itu akan terulang bila kita menatap balik potret lama tersebut. Disebalik gambar ada cerita untuk diungkapkan kembali. Gambar-gambar ni saya ambil dari FB saya, masa ni takde lagi kamera digital. Maka gambar-gambar ni diambil dari gambar asal menggunakan kamera digital.

Nak kata seronok ke Perth ni tak juga.. ada juga yang pahitnya. Ikut rakan office yang pelawa sebab tiket murah beli masa MATA Fair. Katanya nak shopping barang-barang english. Lagipun dia dah biasa di sana. Kalau ikut perancangan awal rasanya takde masalah. Hotel dah tempah selama 3 hari kami di sana. Tapi rakan office saya tu tukar plan tanpa beritahu kitorang yang join sekali ni. Dia kata boleh tumpang rumah kenalan dia di sana (kes nak budget kot, padahal duit flight dan hotel kami semua dah bayar awal-awal sebelum pergi). Pergi berenam sudah pastilah tuan rumah tak selesa ramai sangat yang nak menumpang. Lagipun dah pasti dia pun ada hal dia sendiri.

Jadi terpaksa cari hotel balik. Nasib baiklah ada tourist guide dari Malaysia tolong kitorang dapatkan bilik masa tu (bukan senang nak dapat 1 bilik duduk 6 orang, hotel pula banyak yang dah penuh). Masa tu kena keluar duit lagi bayar duit hotel yang ni pula. Lepas tu mulalah siri masam-masam muka. Yalah nak seronok jadi tak seronok. Disebalik nak dapatkan bilik hotel tu, macam-macam situasi lagi yang kami lalui. Tak perlulah cerita. Ini pun bukanlah nak aibkan sesiapa, saya bukan jenis suka marah orang lama-lama. Cakap apa yang tak puashati masa tu, lepas tu tutup cerita. Lagipun masing-masing dah dewasa. Cuma kurang bercakap je lah.

Apa pun bersyukur jugalah sebab pernah sampai di sini ambil pengalaman. Perth bukanlah tempat yang sibuk seperti bandaraya Kuala Lumpur. Bandarnya pun kecil sahaja. Pukul 7 malam sunyi sepi sebab di sini cepat gelap dan cepat cerah. Pukul 6 pagi matahari dah memancar-mancar. Orang-orangnya peramah-peramah juga.

Jadi kalau nak kemana-mana pastikan buat persiapan dan perancangan yang teratur. Supaya tak jadi perkara yang tidak diingini. Bukan senang nak pergi jauh-jauh ni, sekali dapat pergi biarlah puashati. Betul tak? Kalau ambil pakej lagi bagus dah tentu semua tempat yang menarik diorang bawa.

saya dan rakan kolej Ila berlatar belakangkan bandaraya Perth

bergambar depan Fremantle Market. Pergi sini naik train dari hotel kami duduk tu. Terkejut bila tengok budak-budak muda bawa basikal atas train. Tak ramai macam tempat kita takpelah.. kalau tempat kita tak tahulah nak cakap. Orang pun dah bersumbat macam sardin lagikan nak bawa basikal atas train

posing sikit kat meriam ni..

ni tempat shopping, macam-macam cenderamata boleh beli di sini.

bergambar dengan roses yang segar dalam rumah kenalan rakan office saya tu..

bergambar di batu bersurat (suka-suka je panggil) tempat sepatutnya kami tengok koala. Disebabkan tiket berharga Rm80 (AUD 40), diorang semua taknak masuk. Mahal katanya. Saya nak masuk pun jadi serba salah.

bergambar depan monumen queen (tak ingatlah queen apa)

ambil gambar di sini... tak masuk pun

suka sangat kat sini.. sebab penuh dengan bunga lavender yang segar dan cantik

Ini sebahagian gambar yang saya ambil di sana. Kalau ada rezeki boleh pergi lagi dengan Iman dan AI. Perjalanan pun tak jauh dalam 3/4 jam sahaja. Tempatnya pun tenang. Oh ya masa ni ayah Iman takde kat Malaysia dia kerja di Sudan. Sebab tulah saya 'terbang' ;)


Isnin, 23 Januari 2012

Keseronokan yang melalaikan

google image


Peringatan untuk diri sendiri..

Zaman yang semakin maju membuatkan manusia mempunyai banyak tempat untuk bersosial secara online. Kemajuan ini sedikit sebanyak mempengaruhi faktor kehidupan manusia. Perkara yang sepatutnya positif kini bertukar menjadi negatif. Saya pun sedikit sebanyak terkena juga tempiasnya, ianya dari segi pengurusan masa. Nak online waktu yang tenang hanya di larut malam. Siang masa tertumpu pada anak. Itu dari segi pengurusan masa, belum masuk bab mereka yang tersasar dari tujuan utama dan salah gunakan kemudahan yang ada.


Petikan dari sinar harian :

ALLAH melahirkan setiap anak Adam ke dunia untuk menjalani ujian-NYA seperti firman-NYA yang bermaksud, “(ALLAH) Yang menjadikan mati dan hidup, agar DIA menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan DIA MAHA PERKASA lagi MAHA PENGAMPUN.” (Surah Al-Mulk: 2).

Sebagai hamba-NYA, sepatutnya merasa sangat kerdil di hadapan Rabb yang MAHA PERKASA. Namun seseorang yang mengaku kesalahan yang dilakukan, bertekad tidak mengulangi lagi serta mohon ampunan daripada-NYA secara bersungguh-sungguh akan diampuni-NYA.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. KAMI akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada KAMIlah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya : ayat 35).

Sesungguhnya jaringan media sosial menyediakan kemudahan untuk pengguna berinteraksi. Namun kemudahan yang dicipta dengan izin ALLAH ini sepatutnya digunakan secara berpada-pada.

Penggunaan jaringan media sosial sepatutnya ditumpukan dalam pelbagai aktiviti bermanfaat seperti mengerat hubungan silaturahim secara jujur dan ikhlas, menyertai kumpulan forum yang membawa kebaikan, belajar mempromosi produk dan khidmat, serta bertukar-tukar maklumat berguna.

Menyentuh konteks penggunaan masa, hadis yang diriwayatkan Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat hingga disoal empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, mengenai hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan ilmunya apa yang telah dibuatnya” - (Riwayat At Tirmidzi).

Udang di dalam lubang gunung berapi


PARIS – Lubang gunung berapi di sebuah lokasi rahsia di Laut Carribbean didapati mengandungi ribuan udang kecil yang tidak diketahui spesiesnya.

Menurut para penyelidik, lubang itu terdapat di selatan Kepulauan Cayman, lima kilometer di bawah permukaan laut.

Penemuan itu dibuat menerusi satu ekspedisi pada 2010 yang diketuai oleh seorang ahli geokimia marin Pusat Kelautan Kebangsaan Britain dan Jon Copley seorang ahli biologi di Universiti Southampton.

Mereka menggunakan sebuah robot kapal selam untuk meneroka lubang itu dan merakamkan gambar udang tersebut. – AFP

sumber:  harian metro online

Iman di Jusco Bukit Tinggi

Hari ni dah masuk hari ke 3 ayah Iman cuti.. takde plan nak jalan mana-mana. Aktiviti banyak dihabiskan dirumah dengan mengemas. Masa entri ni dibuat dua orang hero kesayangan saya ni dah keluar "dating". Ke manalah perginya... gambar-gambar di bawah ni diambil masa kristmas baru-baru ni.. tak sempat nak update untuk Iman. Sekarang ni tengah tengok balik cerita apa yang tertinggal untuk Iman. Salah satu sebab buat blog ni untuk Iman juga... bila dah besar dia boleh baca kisah dia yang saya simpan dalam ni...

Malam semalam Iman tidur pukul 8 malam, terjaga pukul 11. Lepas je dia jaga kami keluar pergi Shah Alam, makan di Nasi Kandar Kayu.. seksyen 7 kalau tak silap. Ayah Iman saja je nak bawa dia keluar tengok bunga api.. (dari dalam kereta je..) kalau duduk kat rumah pun bising. Biar dia tau bunyi apa yang bising-bising kat luar tu. Bila dah tau taklah dia takut bila dengar dari dalam rumah.

Sampai rumah pukul 1 pagi.. Iman dah mula mengantuk balik.. maka tidurlah atas badan ayahnya... Kalau ayah cuti memang dia suka sangat... dapat bermanja-manja.

sedih.. gambar dengan ummi takde.. disebabkan saya yang suka pegang kamera. Bila tengok balik gambar-gambar lama. Gambar Iman dengan ayahnya paling banyak. Dengan ummi dia tak banyak kalau ada pun muka ummi kurang lawa hehe... ayah Iman kalau snap tak bagi warning.. banyak gambar candid

panjangnya muncung..


baru pertama kali naik trolley ni.. betul ke namanya trolley.. hehe tak tau pula panggil apa. Sekarang dah tak mau duduk dalam baby stroller. Dah bosan agaknya.. ni baru pertama kali baik je lah duduk dalam tu tak bangun-bangun. Dapat pegang stereng lagi seronok

Jumaat, 20 Januari 2012

Tidur mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W.


Seorang yang berusia 60 tahun akan menghabiskan masa lebih kurang 20 tahun untuk tidur. Sekiranya dia tidur mengikut Sunnah Rasullullah saw, maka tidurnya akan jadi ibadat. Allah swt hanya akan terima ibadat yang dilakukan dengan ikhlas.

Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas. Seseorang tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur. Ganjaran Allah swt untuk orang yang amalkan Sunnah sangat besar. Satu Sunnah yang diamalkan berterusan akan diberi ganjaran 100 pahala mati syahid, sedangkan satu pahala mati syahid sudah cukup untuk menjamin seseorang untuk masuk syurga. Di dalam tidur sendiri ada banyak Sunnah.

Sebaliknya, jika seseorang tidur cara selain dari cara Nabi Muhammad s.a.w,dia hanya akan dapat kerehatan. Kalau bernasib baik, selama 20 tahun mungkin dia dapat mengumpul 20 kilo tahi mata dan menakung 20 liter atau lebih air liur basi.

Antara Sunnah-sunnah Nabi saw sebelum, ketika dan selepas tidur.
  1. Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur. Ramai orang memperlekehkan doa Masnun (doa harian) tapi hakikatnya harga yang Allah swt janjikan adalah syurga.
  2. Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati.
  3. Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu,dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah? Subhanallah 33 X, Alhamdulillah 33 X, Allahuakbar 33 X.
  4. Baca 4 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.
  5. Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga, Allah swt akan mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.
  6. Ambil wudhu sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.
  7. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.Bangun tidur boleh buka fail semula kalau mahu.
  8. Tidur cara Rasulullah saw dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.
Banyak lagi Sunnah Nabi saw yang boleh diamal, semuanya mudah untuk dilakukan. Lebih mudah daripada bersolek atau pakai night cream sebelum tidur.Lebih mudah daripada buat senaman ringan sebelum tidur.

Peringatan : Pesan Nabi saw, dilarang tidur meniarap terutama lelaki.Sekiranya tidur dengan kain pelikat, ikat hujung kain supaya tidak menimbulkan fitnah.

Tutup aurat ketika tidur. Kenapa ya? Lelaki yang tidur meniarap,dibawahnya Syaitan/ Jin Betina.Tidur bogel atau tidak menutup aurat akan menghindarkan Malaikat Rahmat dan mengundang makhluk lain. Sekiranya bersetubuh tanpa membaca doa,Syaitan/Jin akan bersama-sama menjamah isteri kita. Kemungkinan besar benih yang masuk bercampur dengan benih-benih Syaitan/ Jin. Jadi jangan marah kalau anak-anak ikut perangai "bapa-bapa angkat" mereka ketika kita bersetubuh dulu.

Wallahu'alam.


dari FB kawan

Gelak ketawa dalam islam


Saya ni jarang ketawa begitu juga dengan ayah Iman, boleh dilihat wajah mereka yang banyak ketawa dan kurang ketawa, yang suka ketawa pasti wajahnya lebih ceria berbanding yang kurang ketawa. Apa pun ketawa yang berlebih-lebihan tidak digalakkan dalam islam.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!”

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.

Gelak ketawa dilarang Islam. Menurut pandangan Islam, bergelak tertawa adalah tidak baik dan makruh hukumnya. Ibn Mas’ud meriwayatkan dari Auf bin Abdullah bahawa biasanya Rasulullah S.A.W. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak suka melerek, iaitu tidak menoleh, kecuali dengan semua wajahnya. Hadis itu menunjukkan bahawa senyum itu sunat dan tertawa berbahak- bahak adalah makruh… . Maka itu seseorang yang sihat akal dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga.

Sumber dari Cahaya Islam.. klik sini untuk baca sepenuhnya

Khamis, 19 Januari 2012

Iman dengan gaya tidurnya

Disebabkan Iman tidur je ummi dia boleh online maka terciptalah entri ini... taklah saya gurau je. Saat yang paling seronok bila tengok muka anak yang ceria dan bila dia sedang tidur. Bila dia tidur sayu je hati tengok wajahnya yang suci tu sedang lena. Ummi dia pasti ambil kesempatan cium berkali-kali di pipi. Dalam hati sentiasa doakan yang terbaik untuk dirinya. Kadang-kadang sebak sebab terasa indah sangat dengan kehadiran dia disisi yang sukar digambarkan.

Jom tengok macamana Iman tidur.. macam-macam gaya ada.. setengah gambar ni dah ada dalam entri sebelum ni.. tapi yang ni khas untuk gaya tidur dia ;)

ni semasa balik raya di Kelantan tahun lepas

yang ni kepanasan, tengok dia susah nak tidur jadi ummi dia bukakan baju. Lepas buka baru boleh tidur. Dah tak pakai baju pun buka tangan luas-luas masih tak cukup sejuk lagi agaknya

yang ni gaya terbaru tidur dalam kereta. Ummi dia nak pegang tak mau.. jadi biarkan saja.. begitulah jadinya. Dah tidur baru ummi dia betulkan posisi.

ni masa balik Kelantan bulan lepas
 
ini pula ketika ummi dia buat kerja.. bila jenguk tengok dia dah tidur.. punyalah luas tilam, kat tepi juga dia nak tidur. Bukan senang nak tidur sendiri.. selalunya memang kena berteman.
 
ni pula kepenatan lepas balik dari rumah sepupu-sepupu dia.. sampai rumah terus tidur

sewaktu berusia 4 bulan

 yang ni pula ketika berusia 3 bulan. Tengok tangan dia tu... comel je..

Bunyi ‘Suara Aneh Dari Langit’ Di Sarawak Dapat Perhatian Dunia

Baru bermula awal 2012 macam-macam perkara aneh dan pelik berlaku. Takut sebenarnya ingin melalui tahun ini, mungkin juga disebabkan oleh filem 2012 dan juga petanda yang pelik-pelik lebih-lebih lagi pernah berlaku bencana tsunami sebelum ini yang meragut begitu banyak nyawa manusia sekelip mata dan meninggalkan kesan yang cukup mendalam sekaligus memberikan peringatan kepada kita yang masih hidup. 

Semoga kita hambaNya sentiasa memohon keampunan daripadaNya dan semoga Allah ampunkan dosa-dosa hambaNya.

Artikel di bawah ini di ambil dari Utusan Malaysia Online.

Ini bunyi yang berjaya direkodkan oleh salah seorang penduduk

Insiden ‘bunyi aneh dan menakutkan’ dari langit yang kedengaran di Kota Samarahan, Sarawak pada 11 dan 12 Januari lalu kini mendapat perhatian antarabangsa apabila artikel mengenainya yang disiarkan di The Borneo Post mula dibincangkan secara hangat di dalam internet di seluruh dunia.

Pada yang belum tahu, sehari sebelum kejadian pada waktu mejelang Subuh itu berlaku, terjadi perkara yang sama di Aaborg, Denmark.

Bahkan bunyi aneh dan menggerunkan tersebut pernah direkodkan di Sweden pada 1 November tahun lalu

The Borneo Post tempoh hari melaporkan satu bunyi aneh telah kedengaran di Kampung Meranek, Kota Samarahan yang mencetuskan ketakutan dan kegelisahan penduduknya.

Tidak lama selepas bunyi itu kedengaran, satu kejadian gempa bumi kuat (7.3 skala Richter) berlaku di Sumatera, Indonesia.

Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan sejauh mana kaitannya antara bunyi aneh itu dan kejadian gempa bumi tersebut.

Sila rujuk di sini: http://www.theborneopost.com/2012/01/15/rumble-in-the-sky-over-samarahan/

Sementara itu Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Datuk Fadillah Yusuf tidak mahu terus membuat konklusi mengenai perkara itu.

Katanya, beliau perlu terlebih dahulu mendapatkan maklumat saintifik mengenainya daripada Jabatan Metrologi.

Selain daripada kejadian gempa bumi di Sumatera itu, ada juga teori yang mengaitkan bunyi aneh itu dengan sebuah program yang dikenali sebagai High Frequency Active Auroral Research Programme (HAARP)

HAARP adalah program penyelidikan berkaitan ionosfera dan dinaungi sepenuh oleh US Air Force, US Navy, University of Alaska dan Defense Advanced Research Projects Agency(DARPA).

DARPA adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membina pelbagai senjata berteknologi tinggi untuk kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat.

HAARP berselindung dengan aktiviti penyelidikan saintifik yang kononnya menyelidik lapisan ionosfera bagi meningkatkan lagi penggunaan sistem komunikasi dan pemantauan cuaca.

Tapak penyelidikan HAARP yang berada di Gakona, Alaska menempatkan peralatan berteknologi tinggi iaitu Ionospheric Research Instrument (IRI).

IRI adalah sebuah instrumen yang menghasilkan frekuensi radio berdefinisi tinggi sekitar 2.7MHz sehingga 10MHz.

IRI mampu memancarkan frekuensi ke lapisan yang terhad untuk dicapai iaitu di lapisan Ionosfera dan menghantar kembali isyaratnya ke bumi.

Apapun sehingga kini, belum ada jawapan jelas mengenai apa sebenarnya yang berlaku di Kota Samarahan dan beberapa buah kawasan di dunia tempoh hari.

Yang pasti, bunyi yang aneh dan menggerunkan itu akan terus menghantui penduduk selagi tiada jawapan yang jelas mengenainya – Oleh SYAHRIL A. KADIR (Mynewshub.my)

Rabu, 18 Januari 2012

Doa untuk menghilangkan sakit kepala

Sakit kepala bila datang menyerang membuatkan kita rasa susah nak cerita macamana rasanya. Cara yang terbaik tidur itupun kalau boleh. Kalau dah sakit sangat nak tidur pun susah. Kalau teruk sangat penyudahnya mesti akan termuntah. Saya tak suka ambil panadol sebab takut kesan sampingannya. (baca di sini). Sapu minyak cap kapak sahaja sekarang ni.. nampaknya berkesan juga.

Sekarang nak cuba baca doa dari ayat-ayat al-quran ini pula. Kebetulan jumpa dari laman web pakarhowto.com jadi nak share di sini. Lepas ni bolehlah print senang nak rujuk bila sakit sementara belum hafal.



Isnin, 16 Januari 2012

Pengambilan calon lepasan SPM untuk berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia

Kepada lepasan SPM dan Universiti yang berminat untuk sertai Angkatan Tentera Malaysia. Berikut adalah maklumat mengenai permohonan tersebut yang saya perolehi dari informasikerjaya.com

jawatan kosong ATM januari 2012 untuk lepasan SPM
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempelawa calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (menggunakan  keputusan percubaan SPM tahun 2011) dan warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk dilantik sebagai Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

pengambilan untuk lepasan universiti sila KLIK SINI

Jantina: Lelaki dan Wanita
Umur. 17 tahun 6 bulan hingga 19 tahun pada 31 Mei 12. Calon-calon yang berumur di antara 17 tahun 6 bulan hingga 18 tahun perlu mendapat kebenaran dan kelulusan ibubapa/penjaga.

Fizikal:
a. Tinggi minimum : 1.62m (Lelaki)/ 1.57m (Wanita).
b. Berat minimum : 47.5 kg (Lelaki)/ 45.0 kg (Wanita).
c. Ukuran dada minimum (Lelaki sahaja) : 76sm.
d. Body Mass Index (BMI) 18.0 hingga 23.0.

Taraf Kesihatan:
Tahap penglihatan ialah 6/6 tanpa kaca mata dan kanta lekap. Calon-calon mesti lulus pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan ATM iaitu memenuhi taraf Darjah Kesihatan Tubuh (DKT - Forward Everywhere (FE).

Kriteria Pemilihan:
Proses pemilihan adalah berdasarkan kepada merit Kelayakkan Akademik, Ujian Kepimpinan, Ujian Fizikal dan Prestasi Temuduga. Kecemerlangan dalam bidang sukan akan diberi keutamaan.

Tarikh tutup permohonan 31 Januari 2012

maklumat lanjut dan cara memohon sila klik sini

Lesen ikut tarikh lahir pemandu

\

Kosmo 20 Julai 2011

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menimbang cadangan menggunakan tarikh lahir dalam penetapan tempoh akhir bagi memperbaharui lesen memandu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, cadangan itu sedang diperhalusi memandangkan ia dapat membantu pemandu mengingati tarikh luput lesen mereka.

"Kita dapati banyak kes pesalah trafik memberi alasan mereka lupa tarikh untuk memperbaharui lesen ketika ditahan dalam sekatan jalan raya,'' katanya pada pemberita di Wisma MCA di sini semalam.

Menurut beliau, asas kepada pelaksanaan skim itu ialah dengan membuat pelarasan tarikh tamat lesen memandu dengan tarikh lahir seseorang.

"Jika tarikh lahir individu tersebut yang akan datang tidak sampai enam bulan selepas tempoh akhir lesen memandunya, tiada bayaran akan dikenakan untuk pembaharuan,'' katanya.

Bagaimanapun jika tempoh antara kedua-dua tarikh itu melebihi enam bulan, bayaran pembaharuan yang akan dikenakan ialah separuh atau sebanyak 50 peratus.


UI: Bagus juga cadangan ni, kadang-kadang memang terlupa lagi-lagilah renew untuk 2 tahun sekali

Gempa bumi kuat skala 6.5 landa Antartika


16/01/2012 2:14am


WASHINGTON 16 Jan. - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.5 skala Richter menggegarkan wilayah South Shetland Islands di Antartika, semalam.

Pusat Kaji Gempa Amerika Syarikat berkata, pusat gempa dikesan pada kedalaman satu kilometer, kira-kira 464 kilometer di barat Pulau Coronation.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikeluarkan setakat ini. - AFP


Sabtu, 14 Januari 2012

Ada basikal pula..

Tengoklah gelagatnya yang suka dapat basikal. Masa ayah Iman beli basikal ni, saya tak ikut. Macam biasa hari minggu mesti hero berdua ni "dating" bersama sementara tunggu saya bersiap dan buat apa yang patut di rumah. Tapi kesian, kaki belum cukup panjang lagi nak kayuh. Macam biasa kenalah guna kaki untuk tolak.

"Iman pandang sini, ummi nak ambil gambar"... inilah hasilnya. Sekarang dah pandai terima arahan hehe. Memang dia cukup pandai bila bergambar. Dari kecil asyik beraksi depan lensa kamera je oleh ummi dia. Bukan apa esok-esok bila besar dia sendiri akan teruja melihat gambar-gambar dia masa kecil. Mesti dia seronokkan... banyak kenangan zaman kanak-kanak. Tak macam ummi dia tak banyak gambar kenangan zaman kanak-kanak.